Hari ini umat Islam merayakan Hari Raya Aidiladha. Aidiladha adalah perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam selain Hari Raya Aidilfitri. Kami yang tinggal di Kampung Parit Rambai sebagaimana umat Islam di seluruh dunia juga gembira dengan kehadiran Aidiladha.
Hari Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhijjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.
Aidilfitri dan Aidiladha adalah sama sahaja berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (riwayat Abu Daud)
Rasulullah SAW juga ada menyatakan tentang kelebihan ibadat korban dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."
Kelebihan ataupun fadilat yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala di dalam melakukan ibadah ini di antaranya ialah:
- Mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala.
- Dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang-binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat.
- Bulu-bulu binatanga yang dikorbankan itu juga adalah satu kebajikan.
- Mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan kasih sayang sesama Muslim.
- Melahirkan sikap penyayang.
- Memupuk sifat suka berkorban dan bersedekah.
- Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.
- Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah s.w.t. kurniakan kepadanya.
- Berkongsi merasai nikmat Allah s.w.t.hasil daripada ibadah korban (nikmat daging sembelihan) dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
- Menghidupkan amalan sunah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w ketika Hari Raya Aidiladha dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban binatang ternakan.
- Melahirkan sifat ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t dengan tujuan mencari keredhaan-Nya semata-mata.
- Melahirkan budaya gotong royong di kalangan umat Islam dan membina ukuwah Islamiyah dan silaturahim.
Selepas solat sunat Aidiladha, kami ramai-ramai pakat bergotong-royong bersama-sama menyembelih, melapah dan mengagihkan daging korban. Pada tahun ini pada awalnya sebanyak tujuh ekor lembu akan dikorbankan oleh beberapa individu iaitu empat ekor di masjid dan 3 ekor di rumah masing-masing. Malangnya dua ekor lembu terlepas lari... tinggallah 5 ekor sahaja.
Terima kasih diucapkan kepada anak-anak, rakan dan taulan yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk menjayakan ibadah korban di kampung kita.