Tuesday 16 March 2010

LOKASI KAMPUNG PARIT RAMBAI, PONTIAN, JOHOR

Kampung Parit Rambai terletak di daerah Pontian, di negeri Johor Darul Takzim. Sesiapa yang nak pergi melawat-lawat ke Tanjung Piai yang terkenal tu atau sesiapa yang nak pergi ke Indonesia melalui Jeti Kukup, tentunya ternampak papan tanda kampung kami ini.... papan tanda itu berhampiran jambatan Sungai Rambah.

Kalau diukur dengan unit kilometer, jarak kampung kami dengan bandar Pontian kira-kira 10 kilometer. Taklah jauh sangat. Tetapi oleh kerana ia adalah sebuah kampung, maka tetaplah ia bernama Kampung Parit Rambai. Dimana ia? Amatilah peta negeri Johor di bawah.


Asal usul mengapa ia dinamakan Parit Rambai kerana pada zaman dulu-dulu semasa peneroka kampung ini membuat parit untuk saliran, banyaklah pokok rambai yang tumbuh di kawasan ini. Biasalah orang dulu-dulu apabila melihat situasi sedemikian maka dalam mesyuarat bersetujulah mereka menamakan kawasan yang baru diteroka dengan nama Parit Rambai. Serupalah dengan menamakan tempat seperti nama Melaka, Ipoh, Pulau Pinang, Durian Tunggal, Pulau Pandan dan lain-lain. Guna nama pokok sebagai nama tempat. Kalau tak salah nama Johor juga diambil daripada nama pokok. Di zaman moden ni pun nama pokok masih digunakan sebagai nama tempat. Di kampus UTM Skudai terdapat nama seperti Merbau (tapi bukan Merbau Pulas). Masih lagi nama pokok. Untunglah kau pokok... budi baik dikenang juga. 

Sekarang ni pokok rambai di Kampung Parit Rambai dah tak banyak. Mungkin oleh kerana buahnya yang tak berapa sedap maka pokok ini kurang ditanam oleh penduduk Kampung Parit Rambai. Jika ada pun kerana ia tumbuh sendiri. Apabila saya ajukan soalah kepada Kang Kamari dan Wak Marjani, mengenai kurangnya pokok rambai di Kampung Parit Rambai, jawapan yang diberikan ialah buah rambai tak ada nilai komersial. Berlainan pula dengan buah duku, buah langsat dan buah dokong dan yang seangkatan dan sejenis dengannya, buah-buah tersebut laku dijual di pasaran.

Kampung Parit Rambai boleh dihubungi dengan menggunakan jalan darat dan jalan sungai. Jika menggunakan jalan darat, gunakanlah jalan masuk melalui Kampung Rambah di sebelah barat, Kampung Parit Tegong di sebelah utara, Kampung Seri Bunian di sebelah timur, dan Kampung Parit Sulaiman di sebelah selatan. Kampung Parit Rambai dikelilingi oleh empat kampung tersebut. Jika teringin menggunakan jalan sungai, buatlah rakit batang pisang lalu mudik ke hulu Sungai Rambah. Pasti jumpa akan Kampung Parit Rambai.

Kalau pemandu teksi tak tahu dimana kedudukan Kampung Parit Rambai, janganlah risau gundah gulana. Sebutlah 'Kampung Parit Rambai, Rambah, Pontian, Johor'. InsyaAllah pemandu teksi itu akan hantar hingga sampai depan pintu rumah. Jalan-jalan di Kampung Parit Rambai bertaraf jalanraya (kerana semua jalan-jalan dah diturap tar goreng). Untuk memudahkan kerja posmen, alamat kampung ini yang rasmi ialah Kampung Parit Rambai, Rambah, 82000 Pontian, Johor. Kalau anaknya di England, tambahlah Malaysia selepas Johor.








No comments:

Post a Comment