Monday 6 December 2010

MAJLIS BERKHATAN BERAMAI-RAMAI

Hari ini bertempat di SK Parit Rambai (kampung kami) suasananya agak bberlainan daripada biasa. Di situ kedengaran tangisan anak-anak lelaki. Manakan tidak kerana pada hari ini diadakan majlis berkhatan beramai-ramai.

Majlis anjuran Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai telah mendapat sambutan baik daripada anak-anak dan ibu bapa. Seramai 45 orang anak-anak telah berjaya dikhatankan dari pagi hingga ke petang.

Suasana di bilik berkhatan sekali-sekala kedengaran tangisan dan jeritan anak-anak yang bakal menjadi dewasa. Bukan takut nak berkhatan tapi cuma melepaskan perasaan kerana selepas ini tentunya malu jika menangis....  Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini.







Wednesday 17 November 2010

AIDILADHA DAN IBADAH KORBAN DI KAMPUNG KAMI


Hari ini umat Islam merayakan Hari Raya Aidiladha. Aidiladha adalah perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam selain Hari Raya Aidilfitri. Kami yang tinggal di Kampung Parit Rambai sebagaimana umat Islam di seluruh dunia juga gembira dengan kehadiran Aidiladha.
  
Hari Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhijjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.

Aidilfitri dan Aidiladha adalah sama sahaja berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (riwayat Abu Daud)

Rasulullah SAW juga ada menyatakan tentang kelebihan ibadat korban dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."

Kelebihan ataupun fadilat yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala di dalam melakukan ibadah ini di antaranya ialah:

  1. Mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala.
  2. Dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang-binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat.
  3. Bulu-bulu binatanga yang dikorbankan itu juga adalah satu kebajikan.
  4. Mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan kasih sayang sesama Muslim.
  5. Melahirkan sikap penyayang.
  6. Memupuk sifat suka berkorban dan bersedekah.
  7. Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.
  8. Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah s.w.t. kurniakan kepadanya.
  9. Berkongsi merasai nikmat Allah s.w.t.hasil daripada ibadah korban (nikmat daging sembelihan) dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
  10. Menghidupkan amalan sunah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w ketika Hari Raya Aidiladha dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban binatang ternakan.
  11. Melahirkan sifat ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t dengan tujuan mencari keredhaan-Nya semata-mata.
  12. Melahirkan budaya gotong royong di kalangan umat Islam dan membina ukuwah Islamiyah dan silaturahim.

Selepas solat sunat Aidiladha, kami ramai-ramai pakat bergotong-royong bersama-sama menyembelih, melapah dan mengagihkan daging korban. Pada tahun ini pada awalnya sebanyak tujuh ekor lembu akan dikorbankan oleh beberapa individu iaitu empat ekor di masjid dan 3 ekor di rumah masing-masing. Malangnya dua ekor lembu terlepas lari... tinggallah 5 ekor sahaja.

Terima kasih diucapkan kepada anak-anak, rakan dan taulan yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk menjayakan ibadah korban di kampung kita.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat Hari Raya Aidiladha

Tuesday 9 November 2010

MENGERAT SILATURAHIM

Utusan Malaysia, 22 Julai 2010



Peserta rombongan motosikal berkuasa tinggi
 bergambar kenangan ketika tiba di penghujung
selatan tanah benua Asia, Tanjung Pial, baru-baru ini.



PONTIAN 21 Julai – Seramai 100 orang termasuk penunggang motosikal berkuasa tinggi dari kelab-kelab bermotor telah mengikuti Program Makan Nasi Ambang di Parit Rambai, Pontian, baru-baru ini.

Sejak awal pagi lagi sebanyak 32 buah motosikal berkumpul di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Machap untuk bergabung dengan pasukan bermotor Kelab Kapten Bikers dari Singapura.

Pasukan bermotor yang terbabit adalah kelab Ninja 250 Malaysia, Muar Bikerz dan Medan Bikerz.

Pertemuan tersebut membawa kesemua mereka ke lokasi pertama iaitu Parit Rambai.

Program ini anjuran bersama Southern Kawa Bikerz, Puteri UMNO Bahagian Pontian serta Biro Penerangan UMNO cawangan Tanjung Piai

Pengerusi Kelab Kesihatan (Say Heart Club), Siti Annisak Mohd. Khanan, 31, berkata, tujuan program itu diadakan adalah untuk memupuk gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan penduduk dengan ahli kelab melalui usaha dan inisiatif terbabit.

“Selain itu, ia juga diharap dapat menjauhkan anak-anak muda daripada aktiviti atau gejala yang tidak sihat di kalangan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Dalam program itu semua penunggang diiringi skuad bermotosikal mengelilingi kawasan sekitar Parit Rambai sebelum disambut dengan paluan kompang oleh Persatuan Kompang Parit Rambai.

Turut diadakan acara seperti pertunjukan pencak silat oleh anak-anak penduduk Parit Rambai, tarian poco-poco dari Kelab Kecergasan Parit Rambai dan zapin oleh kanak-kanak Tabika Parit Rambai.

Paling ditunggu-tunggu oleh kesemua peserta yang mengikuti program ini ialah jamuan makan nasi ambang secara tradisional. Nasi ambang tersebut dimakan secara beramai-ramai didalam dulang bagi mengeratkan tali persaudaraan sesama Islam.

Lokasi mereka yang terakhir adalah ke penghujung selatan tanah benua Asia yang terletak di Tanjung Piai di sini.

Sunday 25 April 2010

KOMUNITI BESTARI EJEN PERUBAHAN

Berita Harian 25 April 2010

KUALA LUMPUR: Komuniti Bestari yang kini mencecah 1,119 buah di seluruh negara memikul tanggungjawab besar untuk membentuk rakyat Malaysia menjadi komuniti berpengetahuan, bermaklumat dan bestari bagi memastikan wawasan negara tercapai. Penubuhan itu menunjukkan kerajaan memandang serius tanggungjawab yang diamanahkan kepada Komuniti Bestari dalam meningkat-kan ilmu pengetahuan masyarakat supaya dapat menggunakan maklumat secara bijaksana bagi menangkis fitnah dan tohmahan yang boleh meruntuhkan sistem dan perpaduan di negara ini.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Heng Seai Kie, berkata Komuniti Bestari adalah ejen perubahan dibangunkan Jabatan Penerangan yang sentiasa menitikberatkan kualiti kehidupan masyarakat pelbagai kaum, tidak kira sama ada dari aspek politik, sosial serta ekonomi.

“Penubuhan Komuniti Bestari untuk memberikan imej baru dan memperkasakan pentadbiran serta aktiviti selaras dengan perkembangan dan cabaran semasa. Komuniti Bestari adalah satu program gerakan rakyat yang dinamik, berwawasan dan berasaskan kesukarelaan serta berdikari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Abdul Manan pada majlis perasmian Karnival Sepakat Bestari 2010 anjuran jabatan itu dengan kerjasama Komuniti Bestari Parlimen Bandar Tun Razak, di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abu Samah Sahabudin dan Pengerusi Komuniti Bestari PPR Kampung Muhibah, Abdul Ghaffar Abdullah.

Heng berkata, atas kesedaran bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan, kerajaan menentukan perpaduan sebagai matlamat utama dalam usaha membangunkan bangsa dan juga identitinya yang tersendiri.

“Kerajaan sentiasa merangka strategi dan membuat perancangan tertentu bagi menghadapi serta menangani isu dan masalah. Kerajaan mempunyai falsafah jelas dari segi corak dan hak pentadbirannya iaitu membangunkan negara dengan pembangunan bangsa yang mempunyai maruah dan identiti tersendiri. Justeru, sistem pengurusan Komuniti Bestari perlu diberi perhatian khusus dalam memastikan matlamat penubuhan, visi dan misinya akan tercapai. Dengan Komuniti Bestari, sistem penyampaian maklumat secara dua hala antara kerajaan dan masyarakat hingga ke akar umbi akan berjalan lancar dan berkesan,” katanya.

Wednesday 24 March 2010

KAMPUNG KAMI BERNAMA KAMPUNG PARIT RAMBAI

Kampung kami bernama Kampung Parit Rambai, di daerah Pontian. Kampung Parit Rambai, Rambah, Pontian, Johor. Kampung ini dinamakan sedemikian kerana semasa penerokaannya pada tahun 1940an dulu, banyak terdapat pokok rambai. Pokoknya besar-besar pulak tu. Ia terletak 10 km dari bandar Pontian dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai dan DUN Kukup.



Kami di lahirkan di kampung ini. Di kampung inilah kami bermain, belajar, bersekolah dan lain-lain bersama kedua ibu bapa, adik beradik, kawan-kawan dan orang kampung. Kampung ini taklah besar dan taklah kecil. Penduduknya lebih kurang seramai 2000 orang. Majoritinya msyarakat melayu keturunan jawa.




Di kampung ini ada sebuah masjid, dua buah surau, sebuah sekolah kebangsaan dan sekolah agama, dua TADIKA, satu balairaya, tiga kedai runcit, tiga warung, sebuah klinik desa, sebuah padang bolasepak, dan dua tanah kubur. Kampung ini dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu Parit Rambai Hilir, Parit Rambai Ulu, dan Parit Gantung. Jalan-jalan di kampung ini ialah Jalan Parit Rambai Hilir, Jalan parit Rambai Ulu, Jalan Parit Dukacita, Jalan Parit Ponorogo, Jalan Parit Sukaraja, Jalan Parit Gantung, Jalan Parit Hj. Kasimon, dan Jalan Dato' Ajib. Jiran-jiran kampung ini ialah Kampung Rambah, Kampung Telok Kerang, Kampung Parit Sulaiman, Kampung Sri Bunian, Kampung Tenggayun, dan Kampung Parit Tegong. Banyak jalan masuk ke kampung ini. Di antaranya dari Sungai Rambah, dari Sri Bunian dan dari Parit Sulaiman. Ketika ini ketua kampung ialah Hj. Mohd Talib Hj Salamon. Jalan-jalannya telah diturap tar.



Seratus peratus penduduk menikmati kemudahan bekalan elektrik, telefon dan air 24 jam. Boradband hanya GPRS sahaja dapat diterima.Kampung ini ada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Jawatankuasa K-Bestari, Jawatankuasa Masjid Annur, Jawatankuasa surau-surau, Jawatankuasa Kompang, Jawatankuasa Persatuan Belia, Jawatankuasa Pakatan, Jawatankuasa Pasukan Rela, dan Jawatankuasa Yasin dan Tahlil.



Di antara kegiatan-kegiatan kemasyarakatan yang biasa dan selalu diadakan ialah majlis bacaan surah yasin dan tahlil setiap malam Jumaat dan hari Ahad, ceramah-ceramah agama, majlis sambutan maulidurrasul, kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh PIBG SK Parit Rambai, kegiatan-kegiatan yang dikelolakan oleh K. Bestari, rewang kenduri kahwin, gotong-royong, sukan dan permainan dan lain-lain yang diadakan dari semasa ke semasa.


Satu aktiviti di kampung ini yang paling disukai ialah kenduri tahlil. Dalam majlis ini selain membaca kalimah-kalimah al-Quran, kami dapat makan nasi ambeng. Sedap makan berkat nasi ambeng ni.... Nasi ambeng sinonim dengan orang jawa.

Wednesday 17 March 2010

APAKAH K-BESTARI?


Sejarah Penubuhan

Komuniti Bestari (K-Bestari) diistihar penubuhannya pada 12 Oktober 2004 oleh Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka sempena Konvensyen Komuniti BESTARI Peringkat Kebangsaan yang pertama. Penubuhan ini bagi menggantikan K3P (Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca). K3P pada mulanya diterajui oleh Jabatan Penyiaran Malaysia pada tahun 1987. Pada tahun 1991, K3P diserahkan kepada Kementerian Penerangan. Pada 01 Julai 2000, K3P diserah kepada Jabatan Penerangan Malaysia. Komuniti BESTARI ditubuhkan bagi memberikan imej baru dan memperkasakan pentadbiran serta aktiviti selaras dengan perkembangan dan cabaran semasa.


Objektif K-Bestari
  • Memupuk semangat kesukarelaan dan berdikari bagi mengukuhkan jati diri yang menjadikan asas kepada kestabilan politik, sosial dan ekonomi negara.
  • Meningkatkan ilmu pengetahuan komuniti supaya dapat menggunakan maklumat secara bijaksana untuk menangkis tohmahan, dakyah dan fitnah oleh pijak yang tidak bertanggungjawab dengan melibatkan seluruh komuniti menyokong dasar dan menyertai program yang dijalankan oleh kerajaan.
  • Menjadikan ejen perubahan dalam komuniti bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian maklumat secara dua hala dalam pembangunan komuniti.

Misi, Visi dan Slogan K-Bestari

  • Visi - K-Bestari peneraju maklumatan komuniti akar umbi
  • Misi - Membentuk masyarakat yang bermaklumat dan bijaksana sejajar dengan wawasan negara.
  • Slogan - "PENGGERAK PEMBANGUNAN MINDA"


Logo K-Bestari

  • Konsep Logo - Konsep logo ini menggambarkan komuniti yang penyayang, berpengetahuan dan bermaklumat di mana sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan menghasilkan bahan kerja-kerja tangan yang kreatif dan menarik.
  • Keterangan Logo - Huruf ’B” bermaksud BESTARI atau BIJAKSANA. Bintang 14 melambangkan Komuniti BESTARI merangkum keseluruhan negeri. Jalur-jalur merah di belakang membentuk susunan buku melambangkan komuniti gemar membaca dan bermaklumat. Huruf ’B’ juga menghasilkan ’mata pena’ menggambarkan komuniti yang BIJAKSANA dan berpengetahuan ICT. Huruf ’B’ juga membentuk huruf ’V’ yang membawa maksuf ’cinta’ kerana setiap komuniti perlu ada perasaan menyayangi dan kerjasama untuk menjayakan aktiviti.
  • Keterangan WarnaLogo komuniti BESTARI ini menggunakan 4 warna iaitu Biru, Kuning, Merah dan Putih.
    BIRU - Kerjasama antara komuniti
    KUNING - Keikhlasan
    MERAH - Semangat jitu dan kental dalam menghasilkan kerja.
    PUTIH - Sifat ingin tahu dan meningkatkan pengetahuan di dalam bidang ICT dan perkembangan semasa.

GOTONG-ROYONG MENGEMAS DAN MENGINDAHKAN ANJUNG BESTARI

Pada hari Selasa 16 Mac 2010 AJK K-Bestari mengadakan gotong-royong di kawasan Anjung Bestari. Ia bertujuan untuk membersih, mengemas dan mengindahkan kawasan dan bilik Anjung Bestari. Gotong-royong bermula pukul 3.00 petang dan berakhir pada pukul 6.00 petang. Terima kasih diucapkan kepada AJK yang hadir bersama-sama bergotong-royong.

Suasana ceria semasa bergotong-royong,










AJK K-BESTARI KAMPUNG PARIT RAMBAI, MUKIM RIMBA TERJUN, PONTIAN, JOHOR TAHUN 2010


Berikut adalah AJK K-Bestari Kampung Parit Rambai tahun 2010:

  1. Pegawai Penerangan Daerah Pontian - Penyelaras K-Bestari Daerah
  2. En. Ramli bin Hj. Maarof - Pengerusi
  3. Tn. Hj. Mohd Talib bin Salamon - Naib Pengerusi
  4. En. Hasan bin Kasmuri - Setiausaha
  5. En. Abd. Rahman bin Hj. Darom - Penolong Setiausaha
  6. Tn. Hj.Manat bin Kasdi - Bendahari
  7. Tn. Hj. Mohd Sapii bin Kadar - AJK
  8. En. Sakhon bin Tukiran - AJK
  9. En. Tugiman bin Murni - AJK
  10. En. Mohd Khusairi bin Mat Saat - AJK
  11. Pn. Azizah binti Hambiah - AJK
  12. Pn. Masitah binti Hj. Hassan - AJK
  13. Pn. Hjh. Habsah binti Talkis - AJK
  14. Pn. Ainoon binti Hj. Sarbin - AJK
  15. Pn. Norazilah binti Adnan - AJK
  16. Pn. Yatimah binti Sanihad - AJK
  17. Pn. Siti Jurinah bt Salamon - AJK
  18. Pn. Johariah binti Tasliman - AJK
  19. En. Mohd. Yazed bin Othman - AJK
  20. En. Dajuli bin Sanihad - AJK
  21. En. Abidin bin Hj. Sarbin - AJK
  22. Pn. Hjh. Masnawiyah binti Masod - AJK
  23. Pn. Alimah binti Abas - AJK
  24. Pn. Siti Juriah binti Salamon - AJK
  25. Pn. Noraisah binti Sarman - AJK

Selamat menjalankan tugas.

MESYUARAT KALI PERTAMA AJK K-BESTARI KAMPUNG PARIT RAMBAI TAHUN 2010

Mesyuarat Kali Pertama Jawatankuasa K-Bestari Kampung Parit Rambai tahun 2010 diadakan pada hari Khamis 11 Mac 2010. Mesyuarat diadakan di Anjung Bestari, Parit Rambai Ulu pada pukul 5.00 petang.

Pengisian mesyuarat:

  1. Ucapan aluan oleh Tuan Pengerusi, En. Ramli bin Hj. Maarof, Penghulu Mukim Rimba Terjun - Mengalu-alukan kehadiran AJK dan berharap K-Bestari terus aktif dengan menjalankan program dan aktiviti bagi penduduk setempat.
  2. Perlantikan jawatan setiausaha baru - En. Hasan bin Kasmuri dilantik sebagai setiausaha K-Bestari Kampung Parit Rambai.
  3. Program dan aktiviti - Gotong-royong mengindah dan mengemas bilik dan kawasan Anjung Bestari, Program bersama Mufti Kerajaan Johor di Kampung Tenggayun pada bulan April, dan Program kemasyarakatan seperti sukan, pameran dan info-Bestari.

Kehadiran AJK:

  1. En. Ramli bin Hj. Maarof
  2. Tn. Hj. Mohd Talib bin Salamon
  3. En. Hasan bin Kasmuri
  4. Tn. Hj. Mohd Sapii bin Kadar
  5. Tn. Hj. Manat bin Kasdi
  6. En. Sakhon bin Tukiran
  7. En. Tugiman bin Murni
  8. En. Mohd Khusairi bin Mat Saat
  9. Pn. Azizah binti Hambiah
  10. Pn. Masitah binti Hj. Hassan
  11. Pn. Hjh. Habsah binti Talkis
  12. Pn. Ainoon binti Hj. Sarbin
  13. Pn. Norazilah binti Adnan
  14. Pn. Yatimah binti Sanihad
  15. Pn. Siti Jurinah bt Salamon
  16. pn. Johariah binti Tasliman

Tuesday 16 March 2010

LOKASI KAMPUNG PARIT RAMBAI, PONTIAN, JOHOR

Kampung Parit Rambai terletak di daerah Pontian, di negeri Johor Darul Takzim. Sesiapa yang nak pergi melawat-lawat ke Tanjung Piai yang terkenal tu atau sesiapa yang nak pergi ke Indonesia melalui Jeti Kukup, tentunya ternampak papan tanda kampung kami ini.... papan tanda itu berhampiran jambatan Sungai Rambah.

Kalau diukur dengan unit kilometer, jarak kampung kami dengan bandar Pontian kira-kira 10 kilometer. Taklah jauh sangat. Tetapi oleh kerana ia adalah sebuah kampung, maka tetaplah ia bernama Kampung Parit Rambai. Dimana ia? Amatilah peta negeri Johor di bawah.


Asal usul mengapa ia dinamakan Parit Rambai kerana pada zaman dulu-dulu semasa peneroka kampung ini membuat parit untuk saliran, banyaklah pokok rambai yang tumbuh di kawasan ini. Biasalah orang dulu-dulu apabila melihat situasi sedemikian maka dalam mesyuarat bersetujulah mereka menamakan kawasan yang baru diteroka dengan nama Parit Rambai. Serupalah dengan menamakan tempat seperti nama Melaka, Ipoh, Pulau Pinang, Durian Tunggal, Pulau Pandan dan lain-lain. Guna nama pokok sebagai nama tempat. Kalau tak salah nama Johor juga diambil daripada nama pokok. Di zaman moden ni pun nama pokok masih digunakan sebagai nama tempat. Di kampus UTM Skudai terdapat nama seperti Merbau (tapi bukan Merbau Pulas). Masih lagi nama pokok. Untunglah kau pokok... budi baik dikenang juga. 

Sekarang ni pokok rambai di Kampung Parit Rambai dah tak banyak. Mungkin oleh kerana buahnya yang tak berapa sedap maka pokok ini kurang ditanam oleh penduduk Kampung Parit Rambai. Jika ada pun kerana ia tumbuh sendiri. Apabila saya ajukan soalah kepada Kang Kamari dan Wak Marjani, mengenai kurangnya pokok rambai di Kampung Parit Rambai, jawapan yang diberikan ialah buah rambai tak ada nilai komersial. Berlainan pula dengan buah duku, buah langsat dan buah dokong dan yang seangkatan dan sejenis dengannya, buah-buah tersebut laku dijual di pasaran.

Kampung Parit Rambai boleh dihubungi dengan menggunakan jalan darat dan jalan sungai. Jika menggunakan jalan darat, gunakanlah jalan masuk melalui Kampung Rambah di sebelah barat, Kampung Parit Tegong di sebelah utara, Kampung Seri Bunian di sebelah timur, dan Kampung Parit Sulaiman di sebelah selatan. Kampung Parit Rambai dikelilingi oleh empat kampung tersebut. Jika teringin menggunakan jalan sungai, buatlah rakit batang pisang lalu mudik ke hulu Sungai Rambah. Pasti jumpa akan Kampung Parit Rambai.

Kalau pemandu teksi tak tahu dimana kedudukan Kampung Parit Rambai, janganlah risau gundah gulana. Sebutlah 'Kampung Parit Rambai, Rambah, Pontian, Johor'. InsyaAllah pemandu teksi itu akan hantar hingga sampai depan pintu rumah. Jalan-jalan di Kampung Parit Rambai bertaraf jalanraya (kerana semua jalan-jalan dah diturap tar goreng). Untuk memudahkan kerja posmen, alamat kampung ini yang rasmi ialah Kampung Parit Rambai, Rambah, 82000 Pontian, Johor. Kalau anaknya di England, tambahlah Malaysia selepas Johor.