Sunday 6 November 2011

IBADAH KORBAN DI KAMPUNG KAMI

Hari ini selepas solat Aidiladha, kami ramai-ramai pakat bergotong-royong menyembelih tiga ekor lembu korban. Satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadah korban. Ibadah korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. 

Selepas bersembahyang, upacara Ibadah korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Selain tiga ekor lembu yang dikorbankan di perkarangan Masjid Annur iaitu masjid di kampung kami, ada dua ekor lagi yang dikorbankan di rumah penduduk kampung ini. Ramailah yang hadir bersama-sama menyembelih, melapah, memotong dan mengagihkan daging korban itu. Masing-masing tahu tanggungjawab yang diamanahkan.

Kami mulakan kerja yang diketuai oleh penyembelih handalan yang juga Iman 1 Masjid Annur iaitu Ustaz Hj. Mohd Sapii Kadar pada pukul 10.30 pagi dan selesai pada pukul 1.00 tengahari. Itulah berkat kerja beramai-ramai, kerja berat menjadi mudah dan senang. Kami mengucapkan terima kasih kepada penduduk Parit Rambai khususnya yang tinggal di Parit Rambai Hilir yang bersama-sama membereskan kerja yang diamanahkan. 

   















SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam.

Aidiladha dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji dirayakan di seluruh dunia. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Friday 28 October 2011

TEBING PARIT BESAR RUNTUH

Tebing parit besar di kampung kami runtuh. Ia berlaku di tebing parit di bahu jalan utama menghala ke Rambah. Bukan sahaja tebingnya yang runtuh, jalan  berturap tar juga didapati merekah dan mendak. Tak lama lagi sebahagian jalan itu yang dah merekah juga akan runtuh masuk ke dalam parit besar. Kejadian ini terjadi dan disedarai semenjak dua minggu yang lepas setelah kerja-kerja pembersihan parit oleh kontraktor JPS dilakukan dengan menggunakan jentera pengorek.
  





Thursday 1 September 2011

SUASANA BARAAN HARI RAYA AIDILFITRI DI KAMPUNG KAMI

Pada Hari Raya Aidilfitri ini, penduduk kampung ini menjalankan program baraan dari rumah ke rumah. Baraan itu dijalankan selepas solat Aidilfitri selama dua hari. Tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan bermaaf-maafan, di samping memeriahkan suasana Hari Raya Aidilfitri di kampung. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan program ini.










Monday 29 August 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga Kampung Parit Rambai. Maaf zahir dan batin.

Aidilfitri adalah perayaan khusus dikurniakan Allah SWT kepada umat Islam  setelah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Ia sebagai tanda individu muslim itu telah kembali ke fitrah asalnya iaitu bersih dari segala dosa. Ia adalah hari kemenangan kita mendidik hawa nafsu sehingga fitrah kita kembali lurus dan jernih sifatnya.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim. Ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Aidilfitri adalah masa terbaik untuk mempertaut kembali silaturahim, memperkukuh kembali hubungan serta perpaduan sesama umat Islam. Sewajarnyalah, kesan ibadah puasa ynag kita lakukan di bulan Ramadan itu dapat membangun dan menyuburkan nilai-nilai terpuji dalam diri kita yang diterjemahkan dalam kehidupan kita sepanjang hayat.

Saturday 27 August 2011

JEMPUTAN BARAAN HARI RAYA AIDILFITRI


السلام عليكم


سلامة هاريراي عيدالفطري
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan,
pada Hari Raya Aidilfitri ini,
kami Rakan-rakan Sekampung Parit Rambai Hilir
akan menjalankan program baraan dari rumah ke rumah.

Tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan
bermaaf-maafan, di samping memeriahkan
suasana Hari Raya Aidilfitri di kampung kita.

Tarikh kunjungan kami adalah pada hari raya pertama
(selepas Solat Aidilfitri) dan hari raya kedua.

Kami harap tuan-tuan dan puan-puan sudi dan bersedia
menerima kunjungan kami.

Sehubungan dengan itu, kami menjemput warga
Kampung Parit Rambai Hilir tanpa mengira usia
untuk menyertai rombongan baraan ini.

Sekian, harap maklum. Terima Kasih.

 Khidmat pesanan dan makluman daripada,
 Rakan-rakan Sekampung

Saturday 20 August 2011

HIDUPKAN MALAM RAMADHAN DENGAN QIAMULAIL DI MASJID KITA IAITU MASJID ANNUR

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH,

Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya supaya menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadat kerana fadhilatnya amat besar di sisi Allah S.W.T. Antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dalam menghidupkan malam (qiamullail) ini ialah melakukan solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, membanyakkan istighfar serta beriktikaf di masjid.

Selaku umat Islam, kita sepatutnya mencontohi baginda serta berusaha bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan memanfaatkan bulan ini sebaik-baiknya terutama sekali dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan di mana Rasulullah S.A.W dalam kebanyakan hadith memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam-malam ini terutama malam ganjil adalah merupakan malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan.

Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Ketika malam sudah sampai sepertiganya yang terakhir, Allah turun ke langit dunia lalu berkata: Siapa yang berdoa kepadaKu akan Aku perkenankan, dan siapa yang memohon ampunKu, akan Aku ampuni. (HR Bukhari dan Muslim).

اللهم إنك عفو تحب العفوفاعف عني“Ya allah! Engkaulah yang Maha Pemaaf dan Engkau suka memaafkan,maka maafkanlah diriku."

DENGAN ITU KAMI MENJEMPUT SEMUA AHLI QARIAH MASJID ANNUR KAMPUNG PARIT RAMBAI BERTEMUJANJI SESAMA KITA UNTUK HADIR PADA MALAM TERSEBUT.

TARIKH : 26 OGOS 2011 (MALAM 27 RAMADHAN)
HARI : JUMAAT (MALAM SABTU)
TEMPAT : MASJID ANNUR, PARIT RAMBAI, PONTIAN, JOHOR
MASA : SELEPAS SOLAT TARAWIKH

ATURCARA :
  • SOLAT ISYAK
  • SOLAT TARAWIKH
  • SOLAT WITIR
  • REHAT/KUDAPAN
  • TAZKIRAH RAMADHAN
  • MEMBACA AL-QURAN/BERZIKIR
  • TIDUR
  • BANGUN MALAM
  • SOLAT TAHAJUD
  • SOLAT TAUBAT
  • SOLAT HAJAT
  • SOLAT ISTIHARAH
  • SAHUR (URUSAN SENDIRI)
  • SOLAT SUBUH
  • TAZKIRAH HENING PAGI