Wednesday 24 March 2010

KAMPUNG KAMI BERNAMA KAMPUNG PARIT RAMBAI

Kampung kami bernama Kampung Parit Rambai, di daerah Pontian. Kampung Parit Rambai, Rambah, Pontian, Johor. Kampung ini dinamakan sedemikian kerana semasa penerokaannya pada tahun 1940an dulu, banyak terdapat pokok rambai. Pokoknya besar-besar pulak tu. Ia terletak 10 km dari bandar Pontian dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai dan DUN Kukup.



Kami di lahirkan di kampung ini. Di kampung inilah kami bermain, belajar, bersekolah dan lain-lain bersama kedua ibu bapa, adik beradik, kawan-kawan dan orang kampung. Kampung ini taklah besar dan taklah kecil. Penduduknya lebih kurang seramai 2000 orang. Majoritinya msyarakat melayu keturunan jawa.




Di kampung ini ada sebuah masjid, dua buah surau, sebuah sekolah kebangsaan dan sekolah agama, dua TADIKA, satu balairaya, tiga kedai runcit, tiga warung, sebuah klinik desa, sebuah padang bolasepak, dan dua tanah kubur. Kampung ini dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu Parit Rambai Hilir, Parit Rambai Ulu, dan Parit Gantung. Jalan-jalan di kampung ini ialah Jalan Parit Rambai Hilir, Jalan parit Rambai Ulu, Jalan Parit Dukacita, Jalan Parit Ponorogo, Jalan Parit Sukaraja, Jalan Parit Gantung, Jalan Parit Hj. Kasimon, dan Jalan Dato' Ajib. Jiran-jiran kampung ini ialah Kampung Rambah, Kampung Telok Kerang, Kampung Parit Sulaiman, Kampung Sri Bunian, Kampung Tenggayun, dan Kampung Parit Tegong. Banyak jalan masuk ke kampung ini. Di antaranya dari Sungai Rambah, dari Sri Bunian dan dari Parit Sulaiman. Ketika ini ketua kampung ialah Hj. Mohd Talib Hj Salamon. Jalan-jalannya telah diturap tar.



Seratus peratus penduduk menikmati kemudahan bekalan elektrik, telefon dan air 24 jam. Boradband hanya GPRS sahaja dapat diterima.Kampung ini ada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Jawatankuasa K-Bestari, Jawatankuasa Masjid Annur, Jawatankuasa surau-surau, Jawatankuasa Kompang, Jawatankuasa Persatuan Belia, Jawatankuasa Pakatan, Jawatankuasa Pasukan Rela, dan Jawatankuasa Yasin dan Tahlil.



Di antara kegiatan-kegiatan kemasyarakatan yang biasa dan selalu diadakan ialah majlis bacaan surah yasin dan tahlil setiap malam Jumaat dan hari Ahad, ceramah-ceramah agama, majlis sambutan maulidurrasul, kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh PIBG SK Parit Rambai, kegiatan-kegiatan yang dikelolakan oleh K. Bestari, rewang kenduri kahwin, gotong-royong, sukan dan permainan dan lain-lain yang diadakan dari semasa ke semasa.


Satu aktiviti di kampung ini yang paling disukai ialah kenduri tahlil. Dalam majlis ini selain membaca kalimah-kalimah al-Quran, kami dapat makan nasi ambeng. Sedap makan berkat nasi ambeng ni.... Nasi ambeng sinonim dengan orang jawa.

Wednesday 17 March 2010

APAKAH K-BESTARI?


Sejarah Penubuhan

Komuniti Bestari (K-Bestari) diistihar penubuhannya pada 12 Oktober 2004 oleh Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka sempena Konvensyen Komuniti BESTARI Peringkat Kebangsaan yang pertama. Penubuhan ini bagi menggantikan K3P (Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca). K3P pada mulanya diterajui oleh Jabatan Penyiaran Malaysia pada tahun 1987. Pada tahun 1991, K3P diserahkan kepada Kementerian Penerangan. Pada 01 Julai 2000, K3P diserah kepada Jabatan Penerangan Malaysia. Komuniti BESTARI ditubuhkan bagi memberikan imej baru dan memperkasakan pentadbiran serta aktiviti selaras dengan perkembangan dan cabaran semasa.


Objektif K-Bestari
  • Memupuk semangat kesukarelaan dan berdikari bagi mengukuhkan jati diri yang menjadikan asas kepada kestabilan politik, sosial dan ekonomi negara.
  • Meningkatkan ilmu pengetahuan komuniti supaya dapat menggunakan maklumat secara bijaksana untuk menangkis tohmahan, dakyah dan fitnah oleh pijak yang tidak bertanggungjawab dengan melibatkan seluruh komuniti menyokong dasar dan menyertai program yang dijalankan oleh kerajaan.
  • Menjadikan ejen perubahan dalam komuniti bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian maklumat secara dua hala dalam pembangunan komuniti.

Misi, Visi dan Slogan K-Bestari

  • Visi - K-Bestari peneraju maklumatan komuniti akar umbi
  • Misi - Membentuk masyarakat yang bermaklumat dan bijaksana sejajar dengan wawasan negara.
  • Slogan - "PENGGERAK PEMBANGUNAN MINDA"


Logo K-Bestari

  • Konsep Logo - Konsep logo ini menggambarkan komuniti yang penyayang, berpengetahuan dan bermaklumat di mana sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan menghasilkan bahan kerja-kerja tangan yang kreatif dan menarik.
  • Keterangan Logo - Huruf ’B” bermaksud BESTARI atau BIJAKSANA. Bintang 14 melambangkan Komuniti BESTARI merangkum keseluruhan negeri. Jalur-jalur merah di belakang membentuk susunan buku melambangkan komuniti gemar membaca dan bermaklumat. Huruf ’B’ juga menghasilkan ’mata pena’ menggambarkan komuniti yang BIJAKSANA dan berpengetahuan ICT. Huruf ’B’ juga membentuk huruf ’V’ yang membawa maksuf ’cinta’ kerana setiap komuniti perlu ada perasaan menyayangi dan kerjasama untuk menjayakan aktiviti.
  • Keterangan WarnaLogo komuniti BESTARI ini menggunakan 4 warna iaitu Biru, Kuning, Merah dan Putih.
    BIRU - Kerjasama antara komuniti
    KUNING - Keikhlasan
    MERAH - Semangat jitu dan kental dalam menghasilkan kerja.
    PUTIH - Sifat ingin tahu dan meningkatkan pengetahuan di dalam bidang ICT dan perkembangan semasa.

GOTONG-ROYONG MENGEMAS DAN MENGINDAHKAN ANJUNG BESTARI

Pada hari Selasa 16 Mac 2010 AJK K-Bestari mengadakan gotong-royong di kawasan Anjung Bestari. Ia bertujuan untuk membersih, mengemas dan mengindahkan kawasan dan bilik Anjung Bestari. Gotong-royong bermula pukul 3.00 petang dan berakhir pada pukul 6.00 petang. Terima kasih diucapkan kepada AJK yang hadir bersama-sama bergotong-royong.

Suasana ceria semasa bergotong-royong,










AJK K-BESTARI KAMPUNG PARIT RAMBAI, MUKIM RIMBA TERJUN, PONTIAN, JOHOR TAHUN 2010


Berikut adalah AJK K-Bestari Kampung Parit Rambai tahun 2010:

  1. Pegawai Penerangan Daerah Pontian - Penyelaras K-Bestari Daerah
  2. En. Ramli bin Hj. Maarof - Pengerusi
  3. Tn. Hj. Mohd Talib bin Salamon - Naib Pengerusi
  4. En. Hasan bin Kasmuri - Setiausaha
  5. En. Abd. Rahman bin Hj. Darom - Penolong Setiausaha
  6. Tn. Hj.Manat bin Kasdi - Bendahari
  7. Tn. Hj. Mohd Sapii bin Kadar - AJK
  8. En. Sakhon bin Tukiran - AJK
  9. En. Tugiman bin Murni - AJK
  10. En. Mohd Khusairi bin Mat Saat - AJK
  11. Pn. Azizah binti Hambiah - AJK
  12. Pn. Masitah binti Hj. Hassan - AJK
  13. Pn. Hjh. Habsah binti Talkis - AJK
  14. Pn. Ainoon binti Hj. Sarbin - AJK
  15. Pn. Norazilah binti Adnan - AJK
  16. Pn. Yatimah binti Sanihad - AJK
  17. Pn. Siti Jurinah bt Salamon - AJK
  18. Pn. Johariah binti Tasliman - AJK
  19. En. Mohd. Yazed bin Othman - AJK
  20. En. Dajuli bin Sanihad - AJK
  21. En. Abidin bin Hj. Sarbin - AJK
  22. Pn. Hjh. Masnawiyah binti Masod - AJK
  23. Pn. Alimah binti Abas - AJK
  24. Pn. Siti Juriah binti Salamon - AJK
  25. Pn. Noraisah binti Sarman - AJK

Selamat menjalankan tugas.

MESYUARAT KALI PERTAMA AJK K-BESTARI KAMPUNG PARIT RAMBAI TAHUN 2010

Mesyuarat Kali Pertama Jawatankuasa K-Bestari Kampung Parit Rambai tahun 2010 diadakan pada hari Khamis 11 Mac 2010. Mesyuarat diadakan di Anjung Bestari, Parit Rambai Ulu pada pukul 5.00 petang.

Pengisian mesyuarat:

  1. Ucapan aluan oleh Tuan Pengerusi, En. Ramli bin Hj. Maarof, Penghulu Mukim Rimba Terjun - Mengalu-alukan kehadiran AJK dan berharap K-Bestari terus aktif dengan menjalankan program dan aktiviti bagi penduduk setempat.
  2. Perlantikan jawatan setiausaha baru - En. Hasan bin Kasmuri dilantik sebagai setiausaha K-Bestari Kampung Parit Rambai.
  3. Program dan aktiviti - Gotong-royong mengindah dan mengemas bilik dan kawasan Anjung Bestari, Program bersama Mufti Kerajaan Johor di Kampung Tenggayun pada bulan April, dan Program kemasyarakatan seperti sukan, pameran dan info-Bestari.

Kehadiran AJK:

  1. En. Ramli bin Hj. Maarof
  2. Tn. Hj. Mohd Talib bin Salamon
  3. En. Hasan bin Kasmuri
  4. Tn. Hj. Mohd Sapii bin Kadar
  5. Tn. Hj. Manat bin Kasdi
  6. En. Sakhon bin Tukiran
  7. En. Tugiman bin Murni
  8. En. Mohd Khusairi bin Mat Saat
  9. Pn. Azizah binti Hambiah
  10. Pn. Masitah binti Hj. Hassan
  11. Pn. Hjh. Habsah binti Talkis
  12. Pn. Ainoon binti Hj. Sarbin
  13. Pn. Norazilah binti Adnan
  14. Pn. Yatimah binti Sanihad
  15. Pn. Siti Jurinah bt Salamon
  16. pn. Johariah binti Tasliman

Tuesday 16 March 2010

LOKASI KAMPUNG PARIT RAMBAI, PONTIAN, JOHOR

Kampung Parit Rambai terletak di daerah Pontian, di negeri Johor Darul Takzim. Sesiapa yang nak pergi melawat-lawat ke Tanjung Piai yang terkenal tu atau sesiapa yang nak pergi ke Indonesia melalui Jeti Kukup, tentunya ternampak papan tanda kampung kami ini.... papan tanda itu berhampiran jambatan Sungai Rambah.

Kalau diukur dengan unit kilometer, jarak kampung kami dengan bandar Pontian kira-kira 10 kilometer. Taklah jauh sangat. Tetapi oleh kerana ia adalah sebuah kampung, maka tetaplah ia bernama Kampung Parit Rambai. Dimana ia? Amatilah peta negeri Johor di bawah.


Asal usul mengapa ia dinamakan Parit Rambai kerana pada zaman dulu-dulu semasa peneroka kampung ini membuat parit untuk saliran, banyaklah pokok rambai yang tumbuh di kawasan ini. Biasalah orang dulu-dulu apabila melihat situasi sedemikian maka dalam mesyuarat bersetujulah mereka menamakan kawasan yang baru diteroka dengan nama Parit Rambai. Serupalah dengan menamakan tempat seperti nama Melaka, Ipoh, Pulau Pinang, Durian Tunggal, Pulau Pandan dan lain-lain. Guna nama pokok sebagai nama tempat. Kalau tak salah nama Johor juga diambil daripada nama pokok. Di zaman moden ni pun nama pokok masih digunakan sebagai nama tempat. Di kampus UTM Skudai terdapat nama seperti Merbau (tapi bukan Merbau Pulas). Masih lagi nama pokok. Untunglah kau pokok... budi baik dikenang juga. 

Sekarang ni pokok rambai di Kampung Parit Rambai dah tak banyak. Mungkin oleh kerana buahnya yang tak berapa sedap maka pokok ini kurang ditanam oleh penduduk Kampung Parit Rambai. Jika ada pun kerana ia tumbuh sendiri. Apabila saya ajukan soalah kepada Kang Kamari dan Wak Marjani, mengenai kurangnya pokok rambai di Kampung Parit Rambai, jawapan yang diberikan ialah buah rambai tak ada nilai komersial. Berlainan pula dengan buah duku, buah langsat dan buah dokong dan yang seangkatan dan sejenis dengannya, buah-buah tersebut laku dijual di pasaran.

Kampung Parit Rambai boleh dihubungi dengan menggunakan jalan darat dan jalan sungai. Jika menggunakan jalan darat, gunakanlah jalan masuk melalui Kampung Rambah di sebelah barat, Kampung Parit Tegong di sebelah utara, Kampung Seri Bunian di sebelah timur, dan Kampung Parit Sulaiman di sebelah selatan. Kampung Parit Rambai dikelilingi oleh empat kampung tersebut. Jika teringin menggunakan jalan sungai, buatlah rakit batang pisang lalu mudik ke hulu Sungai Rambah. Pasti jumpa akan Kampung Parit Rambai.

Kalau pemandu teksi tak tahu dimana kedudukan Kampung Parit Rambai, janganlah risau gundah gulana. Sebutlah 'Kampung Parit Rambai, Rambah, Pontian, Johor'. InsyaAllah pemandu teksi itu akan hantar hingga sampai depan pintu rumah. Jalan-jalan di Kampung Parit Rambai bertaraf jalanraya (kerana semua jalan-jalan dah diturap tar goreng). Untuk memudahkan kerja posmen, alamat kampung ini yang rasmi ialah Kampung Parit Rambai, Rambah, 82000 Pontian, Johor. Kalau anaknya di England, tambahlah Malaysia selepas Johor.