Monday 29 August 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga Kampung Parit Rambai. Maaf zahir dan batin.

Aidilfitri adalah perayaan khusus dikurniakan Allah SWT kepada umat Islam  setelah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Ia sebagai tanda individu muslim itu telah kembali ke fitrah asalnya iaitu bersih dari segala dosa. Ia adalah hari kemenangan kita mendidik hawa nafsu sehingga fitrah kita kembali lurus dan jernih sifatnya.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim. Ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Aidilfitri adalah masa terbaik untuk mempertaut kembali silaturahim, memperkukuh kembali hubungan serta perpaduan sesama umat Islam. Sewajarnyalah, kesan ibadah puasa ynag kita lakukan di bulan Ramadan itu dapat membangun dan menyuburkan nilai-nilai terpuji dalam diri kita yang diterjemahkan dalam kehidupan kita sepanjang hayat.

Saturday 27 August 2011

JEMPUTAN BARAAN HARI RAYA AIDILFITRI


السلام عليكم


سلامة هاريراي عيدالفطري
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan,
pada Hari Raya Aidilfitri ini,
kami Rakan-rakan Sekampung Parit Rambai Hilir
akan menjalankan program baraan dari rumah ke rumah.

Tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan
bermaaf-maafan, di samping memeriahkan
suasana Hari Raya Aidilfitri di kampung kita.

Tarikh kunjungan kami adalah pada hari raya pertama
(selepas Solat Aidilfitri) dan hari raya kedua.

Kami harap tuan-tuan dan puan-puan sudi dan bersedia
menerima kunjungan kami.

Sehubungan dengan itu, kami menjemput warga
Kampung Parit Rambai Hilir tanpa mengira usia
untuk menyertai rombongan baraan ini.

Sekian, harap maklum. Terima Kasih.

 Khidmat pesanan dan makluman daripada,
 Rakan-rakan Sekampung

Saturday 20 August 2011

HIDUPKAN MALAM RAMADHAN DENGAN QIAMULAIL DI MASJID KITA IAITU MASJID ANNUR

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH,

Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya supaya menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadat kerana fadhilatnya amat besar di sisi Allah S.W.T. Antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dalam menghidupkan malam (qiamullail) ini ialah melakukan solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, membanyakkan istighfar serta beriktikaf di masjid.

Selaku umat Islam, kita sepatutnya mencontohi baginda serta berusaha bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan memanfaatkan bulan ini sebaik-baiknya terutama sekali dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan di mana Rasulullah S.A.W dalam kebanyakan hadith memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam-malam ini terutama malam ganjil adalah merupakan malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan.

Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Ketika malam sudah sampai sepertiganya yang terakhir, Allah turun ke langit dunia lalu berkata: Siapa yang berdoa kepadaKu akan Aku perkenankan, dan siapa yang memohon ampunKu, akan Aku ampuni. (HR Bukhari dan Muslim).

اللهم إنك عفو تحب العفوفاعف عني“Ya allah! Engkaulah yang Maha Pemaaf dan Engkau suka memaafkan,maka maafkanlah diriku."

DENGAN ITU KAMI MENJEMPUT SEMUA AHLI QARIAH MASJID ANNUR KAMPUNG PARIT RAMBAI BERTEMUJANJI SESAMA KITA UNTUK HADIR PADA MALAM TERSEBUT.

TARIKH : 26 OGOS 2011 (MALAM 27 RAMADHAN)
HARI : JUMAAT (MALAM SABTU)
TEMPAT : MASJID ANNUR, PARIT RAMBAI, PONTIAN, JOHOR
MASA : SELEPAS SOLAT TARAWIKH

ATURCARA :
  • SOLAT ISYAK
  • SOLAT TARAWIKH
  • SOLAT WITIR
  • REHAT/KUDAPAN
  • TAZKIRAH RAMADHAN
  • MEMBACA AL-QURAN/BERZIKIR
  • TIDUR
  • BANGUN MALAM
  • SOLAT TAHAJUD
  • SOLAT TAUBAT
  • SOLAT HAJAT
  • SOLAT ISTIHARAH
  • SAHUR (URUSAN SENDIRI)
  • SOLAT SUBUH
  • TAZKIRAH HENING PAGI

Monday 1 August 2011

RAMADHAN MENJELMA. SELAMAT BERPUASA

Hari ini kita mula berpuasa di bulan Ramadhan. Kami mengucapkan selamat mengerjakan ibadah puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kepada penduduk Kampung Parit Rambai dan umat Islam di seluruh dunia.

Marilah kita bersama-sama mengimarahkan Masjid Annur, masjid kampung kita dengan bersolat Tarawikh beramai-ramai. Semoga Allah SWT menerima ibadah kita.

"Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka iaitubau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi syurganya setiap hari, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam (Hadis Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi daripada sahabat Abu Hurairah).

Sebagai dorongan dan motivasi orang-orang yang menjaga puasanya Nabi berkata: "Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Rayyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya. (Hadis Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad daripada sahabat Sahal bin Sa'd)."

Allah juga menjanjikan pahala yang sangat banyak bahkan tanpa batas kepada orang-orang yang ikhlas dan menjaga kualiti puasa mereka. Sahabat Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda bahawa Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah baginya (pahala menurut kadar yang ditentukan) kecuali puasa, sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang mengganjarinya secara khusus..."

Dalam hadis Qudsi yang lain pula Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. (Hadis Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai daripada sahabat Abi Hurairah dan Abi Sa'id).

Hadis ini juga memberi isyarat bahawa puasa juga berfungsi sebagai terapi jiwa. Allah menjanjikan rasa gembira sebanyak dua kali kepada orang-orang yang berpuasa. Kali pertama ialah ketika berbuka puasa dan kali kedua ialah ketika bertemu dengan Allah.

Antara keutamaan puasa yang besar dan bermakna ialah, ia adalah merupakan penyebab kepada keampunan daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan. Ini seperti yang disampaikan oleh sahabat Abu Hurairah r.a dari Nabi yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Dalam teks yang lain pula Nabi menyebut yang bermaksud: Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi. (riwayat Imam Muslim).

Puasa adalah perisai buat membenteng diri daripada melakukan dosa dan menjauhi api neraka. Nabi pernah berkata: "Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat". (Hadis Imam Ahmad dan an-Nasai daripada sahabat Usman bin Abi al-As)

Mendokong makna yang hampir senada dalam hadis yang lain Nabi menyebutkan, "Sesiapa yang berpuasa sehari di jalah Allah, nescaya Allah akan jauhkan neraka Jahannam sejauh perjalanan 100 tahun." (Hadis Imam Nasa'i disahihkah oleh Syaikh al-Albani).
 
Sekian.