Sunday 6 November 2011

IBADAH KORBAN DI KAMPUNG KAMI

Hari ini selepas solat Aidiladha, kami ramai-ramai pakat bergotong-royong menyembelih tiga ekor lembu korban. Satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadah korban. Ibadah korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. 

Selepas bersembahyang, upacara Ibadah korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Selain tiga ekor lembu yang dikorbankan di perkarangan Masjid Annur iaitu masjid di kampung kami, ada dua ekor lagi yang dikorbankan di rumah penduduk kampung ini. Ramailah yang hadir bersama-sama menyembelih, melapah, memotong dan mengagihkan daging korban itu. Masing-masing tahu tanggungjawab yang diamanahkan.

Kami mulakan kerja yang diketuai oleh penyembelih handalan yang juga Iman 1 Masjid Annur iaitu Ustaz Hj. Mohd Sapii Kadar pada pukul 10.30 pagi dan selesai pada pukul 1.00 tengahari. Itulah berkat kerja beramai-ramai, kerja berat menjadi mudah dan senang. Kami mengucapkan terima kasih kepada penduduk Parit Rambai khususnya yang tinggal di Parit Rambai Hilir yang bersama-sama membereskan kerja yang diamanahkan. 

   















SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam.

Aidiladha dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji dirayakan di seluruh dunia. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Friday 28 October 2011

TEBING PARIT BESAR RUNTUH

Tebing parit besar di kampung kami runtuh. Ia berlaku di tebing parit di bahu jalan utama menghala ke Rambah. Bukan sahaja tebingnya yang runtuh, jalan  berturap tar juga didapati merekah dan mendak. Tak lama lagi sebahagian jalan itu yang dah merekah juga akan runtuh masuk ke dalam parit besar. Kejadian ini terjadi dan disedarai semenjak dua minggu yang lepas setelah kerja-kerja pembersihan parit oleh kontraktor JPS dilakukan dengan menggunakan jentera pengorek.
  





Thursday 1 September 2011

SUASANA BARAAN HARI RAYA AIDILFITRI DI KAMPUNG KAMI

Pada Hari Raya Aidilfitri ini, penduduk kampung ini menjalankan program baraan dari rumah ke rumah. Baraan itu dijalankan selepas solat Aidilfitri selama dua hari. Tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan bermaaf-maafan, di samping memeriahkan suasana Hari Raya Aidilfitri di kampung. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan program ini.










Monday 29 August 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga Kampung Parit Rambai. Maaf zahir dan batin.

Aidilfitri adalah perayaan khusus dikurniakan Allah SWT kepada umat Islam  setelah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Ia sebagai tanda individu muslim itu telah kembali ke fitrah asalnya iaitu bersih dari segala dosa. Ia adalah hari kemenangan kita mendidik hawa nafsu sehingga fitrah kita kembali lurus dan jernih sifatnya.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim. Ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Aidilfitri adalah masa terbaik untuk mempertaut kembali silaturahim, memperkukuh kembali hubungan serta perpaduan sesama umat Islam. Sewajarnyalah, kesan ibadah puasa ynag kita lakukan di bulan Ramadan itu dapat membangun dan menyuburkan nilai-nilai terpuji dalam diri kita yang diterjemahkan dalam kehidupan kita sepanjang hayat.

Saturday 27 August 2011

JEMPUTAN BARAAN HARI RAYA AIDILFITRI


السلام عليكم


سلامة هاريراي عيدالفطري
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan,
pada Hari Raya Aidilfitri ini,
kami Rakan-rakan Sekampung Parit Rambai Hilir
akan menjalankan program baraan dari rumah ke rumah.

Tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan
bermaaf-maafan, di samping memeriahkan
suasana Hari Raya Aidilfitri di kampung kita.

Tarikh kunjungan kami adalah pada hari raya pertama
(selepas Solat Aidilfitri) dan hari raya kedua.

Kami harap tuan-tuan dan puan-puan sudi dan bersedia
menerima kunjungan kami.

Sehubungan dengan itu, kami menjemput warga
Kampung Parit Rambai Hilir tanpa mengira usia
untuk menyertai rombongan baraan ini.

Sekian, harap maklum. Terima Kasih.

 Khidmat pesanan dan makluman daripada,
 Rakan-rakan Sekampung

Saturday 20 August 2011

HIDUPKAN MALAM RAMADHAN DENGAN QIAMULAIL DI MASJID KITA IAITU MASJID ANNUR

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH,

Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya supaya menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadat kerana fadhilatnya amat besar di sisi Allah S.W.T. Antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dalam menghidupkan malam (qiamullail) ini ialah melakukan solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, membanyakkan istighfar serta beriktikaf di masjid.

Selaku umat Islam, kita sepatutnya mencontohi baginda serta berusaha bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan memanfaatkan bulan ini sebaik-baiknya terutama sekali dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan di mana Rasulullah S.A.W dalam kebanyakan hadith memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam-malam ini terutama malam ganjil adalah merupakan malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan.

Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Ketika malam sudah sampai sepertiganya yang terakhir, Allah turun ke langit dunia lalu berkata: Siapa yang berdoa kepadaKu akan Aku perkenankan, dan siapa yang memohon ampunKu, akan Aku ampuni. (HR Bukhari dan Muslim).

اللهم إنك عفو تحب العفوفاعف عني“Ya allah! Engkaulah yang Maha Pemaaf dan Engkau suka memaafkan,maka maafkanlah diriku."

DENGAN ITU KAMI MENJEMPUT SEMUA AHLI QARIAH MASJID ANNUR KAMPUNG PARIT RAMBAI BERTEMUJANJI SESAMA KITA UNTUK HADIR PADA MALAM TERSEBUT.

TARIKH : 26 OGOS 2011 (MALAM 27 RAMADHAN)
HARI : JUMAAT (MALAM SABTU)
TEMPAT : MASJID ANNUR, PARIT RAMBAI, PONTIAN, JOHOR
MASA : SELEPAS SOLAT TARAWIKH

ATURCARA :
  • SOLAT ISYAK
  • SOLAT TARAWIKH
  • SOLAT WITIR
  • REHAT/KUDAPAN
  • TAZKIRAH RAMADHAN
  • MEMBACA AL-QURAN/BERZIKIR
  • TIDUR
  • BANGUN MALAM
  • SOLAT TAHAJUD
  • SOLAT TAUBAT
  • SOLAT HAJAT
  • SOLAT ISTIHARAH
  • SAHUR (URUSAN SENDIRI)
  • SOLAT SUBUH
  • TAZKIRAH HENING PAGI

Monday 1 August 2011

RAMADHAN MENJELMA. SELAMAT BERPUASA

Hari ini kita mula berpuasa di bulan Ramadhan. Kami mengucapkan selamat mengerjakan ibadah puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kepada penduduk Kampung Parit Rambai dan umat Islam di seluruh dunia.

Marilah kita bersama-sama mengimarahkan Masjid Annur, masjid kampung kita dengan bersolat Tarawikh beramai-ramai. Semoga Allah SWT menerima ibadah kita.

"Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka iaitubau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi syurganya setiap hari, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam (Hadis Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi daripada sahabat Abu Hurairah).

Sebagai dorongan dan motivasi orang-orang yang menjaga puasanya Nabi berkata: "Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Rayyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya. (Hadis Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad daripada sahabat Sahal bin Sa'd)."

Allah juga menjanjikan pahala yang sangat banyak bahkan tanpa batas kepada orang-orang yang ikhlas dan menjaga kualiti puasa mereka. Sahabat Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda bahawa Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah baginya (pahala menurut kadar yang ditentukan) kecuali puasa, sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang mengganjarinya secara khusus..."

Dalam hadis Qudsi yang lain pula Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. (Hadis Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai daripada sahabat Abi Hurairah dan Abi Sa'id).

Hadis ini juga memberi isyarat bahawa puasa juga berfungsi sebagai terapi jiwa. Allah menjanjikan rasa gembira sebanyak dua kali kepada orang-orang yang berpuasa. Kali pertama ialah ketika berbuka puasa dan kali kedua ialah ketika bertemu dengan Allah.

Antara keutamaan puasa yang besar dan bermakna ialah, ia adalah merupakan penyebab kepada keampunan daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan. Ini seperti yang disampaikan oleh sahabat Abu Hurairah r.a dari Nabi yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Dalam teks yang lain pula Nabi menyebut yang bermaksud: Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi. (riwayat Imam Muslim).

Puasa adalah perisai buat membenteng diri daripada melakukan dosa dan menjauhi api neraka. Nabi pernah berkata: "Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat". (Hadis Imam Ahmad dan an-Nasai daripada sahabat Usman bin Abi al-As)

Mendokong makna yang hampir senada dalam hadis yang lain Nabi menyebutkan, "Sesiapa yang berpuasa sehari di jalah Allah, nescaya Allah akan jauhkan neraka Jahannam sejauh perjalanan 100 tahun." (Hadis Imam Nasa'i disahihkah oleh Syaikh al-Albani).
 
Sekian.

Sunday 24 April 2011

MESYUARAT K-BESTARI KALI PERTAMA 2011

Mesyuarat pada hari Sabtu 23 April 2011 di Anjung Bestari, Kampung Parit Rambai pada pukul 9.00 malam.

Pengisian mesyuarat:

  1. Program K-Bestari: Kemasyarakatan, Keagamaan, Sukan dan permainan, Kursus/ceramah, Smart solat, Kursus menyembelih
  2.  Smart Solat dan Kursus Menyembelih - Bulan Jun
  3.  Menguruskan jenazah dan solat jenazah
  4.  Uruskan peruntukan sebuah komputer yang ada. Ketika ini komputer di tangan Timbalan Pengerusi, Tn. Hj. Talib Bin Salamon.
  5.  Tiada penyerahan dokumen daripada Pengerusi lama.

AJK 2011
  • En. Mohd Ali - Penghulu 
  • Tn. Hj. Mohd Talib bin Salamon - Naib Pengerusi 
  • En. Hasan bin Kasmuri - Setiausaha 
  • Tn. Hj.Manat bin Kasdi - Bendahari 
  • Tn. Hj. Mohd Sapii bin Kadar - AJK 
  • En. Sakhon bin Tukiran - AJK 
  • En. Tugiman bin Murni - AJK 
  • En. Mohd Khusairi bin Mat Saat - AJK 
  • Pn. Azizah binti Hambiah - AJK 
  • Pn. Hjh. Habsah binti Talkis - AJK 
  • Pn. Ainoon binti Hj. Sarbin - AJK 
  • Pn. Yatimah binti Sanihad - AJK 
  • Pn. Siti Jurinah bt Salamon - AJK 
  • Pn. Johariah binti Tasliman - AJK 
  • En. Mohd. Yazed bin Othman - Pemeriksa Kira-kira 
  • Pn. Hjh. Masnawiyah binti Masod - AJK 
  • Pn. Alimah binti Abas - AJK 
  • Pn. Hjh. Asmawati Bi Hj Sarbin - Naib Setiausaha 
  • En. Mohd Khisairi - Pemeriksa Kira-kira

Sunday 10 April 2011

KEMALANGAN MAUT MELIBATKAN ANAK, MENANTU DAN CUCU PAK ASRANI

Di bawah ini adalah laporan berita mengenai kemalangan maut yang melibatkan anak, menantu dan cucu Pak Asrani. Kami ucapkan takziah kepada keluarga Pak Asrani. Sama-samalah kita hadiahkan bacaan al-fatihah kepada anak, menantu dan cucu Pak Asrani...al-Fatihah...

Mingguan Malaysia, 10 April 2011

Tiga beranak terbunuh di Serendah

SERENDAH 9 April – Tiga beranak yang berpisah selama empat hari hanya sempat melepaskan rindu beberapa jam sebelum kesemua mereka maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 40, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh di simpang ke Ladang Sungai Gapi berhampiran Serendah dekat sini, pagi ini.


Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan  tiga
mangsa kemalangan ngeri di Serendah, semalam

Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, Mohd. Farid Idris, 29; isterinya, Eirlenna Asrani, 28, dan anak tunggal mereka, Muhammad Faiz Hakimi, 4, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta mereka remuk teruk dirempuh sebelum dihempap lori tanah 10 tayar.

Mohd. Farid dan Eirlenna masing-masing bertugas sebagai pembantu perubatan dan jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, ketika kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Kampar, Perak ke ibu kota dengan menaiki kereta Proton Satria.

“Semasa melalui tempat kejadian, kereta yang dipandu Mohd. Farid dipercayai bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan. Kenderaan mangsa diseret sejauh 70 meter sebelum terjatuh ke cerun sedalam dua meter. Lori yang gagal berhenti itu terbalik lalu menghempap kereta tersebut sehingga menyebabkan kesemua mangsa tersepit di bawah kenderaan berat itu,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, mayat tiga beranak itu hanya berjaya dikeluarkan daripada kenderaan yang remuk selepas tiga jam.

“Usaha mengeluarkan mayat yang dilakukan oleh anggota bomba memakan masa kerana kereta tersebut berada di bawah lori,” ujarnya.

Menurutnya, pemandu lori tersebut, K. Duraisingam, 40, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, ibu Mohd. Farid, Azmah Zarif, 50-an memberitahu, anak dan menantunya bertolak pulang dari rumahnya di Kampar pada pukul 5.30 pagi ini.

“Ahmad Farid meninggalkan anaknya dengan saya selama empat hari untuk dijaga kerana Eirlenna berkursus di Negeri Sembilan. Pada pukul 9.30 malam semalam, kedua-dua mereka tiba di Kampar untuk mengambil semula Muhammad Faiz Hakimi selepas terlalu rindu empat hari tidak bertemu,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga beranak itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampar petang ini.

Sunday 27 February 2011

SAMBUTAN MAULIDURRASUL MASJID ANNUR, PARIT RAMBAI

Hari ini 27 Februari 2011 diadakan Sambutan Maulidurrasul Masjid Annur kampung kami. Bergabung bersama ialah UMNO Bahagian Tanjung Piai. Majlis yang diadakan setahun sekali ini dijalankan secara gotong-royong daripada membuat persediaan sehinggalah kepada kerja-kerja pembersihan dan pengemasan.

Pada tahun ini sambutan ini diadakan di perkarangan Masjid Annur yang dirasmikan oleh ADUN Kukup iaitu Datuk Mohd. Othman Bin Yusuff. Ceramah Utama Sambutan Maulidurrasul disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Mahyuddin B Hj. Shariff, Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan dan Dakwah, Universiti Teknologi Malaysia.Jumaat, 25 Februari 2011

Antara aturcara sambutan ialah: 

Jumaat, 25 Februari 2011 

  • 3.00 petang - Gotong-royong mendirikan khemah.
Sabtu, 26 Februari 2011
  • 9.30 pagi - Menyembelih dan melapah lembu.
  • 2.00 petang - Pertandingan nasyid SAPR
  • 3.00 petang - Perujian berzanji SKPR
  • 4.00 petang - Pertandingan mewarna bawah 7 tahun
  • 5.30 petang - Pertandingan tulisan jawi (terbuka)
  • 9.00 malam - Perujian berzanji Bahagian Tanjung Piai
  • Rewang masak nasi beriani
Ahad, 27 Februari 2011
  • 7.30 pagi - Perarakan dan selawat
  • 8.00 pagi - Bacaan berzanji
  • 9.00 pagi - Doa
  • 9.10 pagi - Al-Quran dan terjemahannya
  • 9.30 pagi - Bacaan berzanji oleh johan perujian berzanji SKPR
  • 9.40 pagi - Nasyid oleh johan pentandingan nasyid SAPR
  • 9.50 pagi - Ucapan Pengerusi Masjid An-Nur
  • 10.00 pagi - Ucapan perasmian oleh Yang Berbahagia Datuk Mohd. Othman B Yussuf (ADUN Kukup)
  • 10.10 pagi - Nasyid olen Rakan muda
  • 10.20 pagi - Penyampaian kunci van serbaguna
  • 10.30 pagi - Ceramah Utama Sambutan Maulidurrasul oleh Yang Berbahagia Ustaz Mahyuddin B Hj. Shariff, Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan dan Dakwah, Universiti Teknologi Malaysia.
  • 12.30 tgh - Jamuan
  • Pengemasan


























Ahli jawatankuasa sambutan mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk Kampung Parit Rambai yang sudi memberi kerjasama sama ada dalam bentuk kewangan atau tenaga bagi menjayakan sambutan Maulidurrasul pada tahun ini. Terima kasih.