Sunday 25 April 2010

KOMUNITI BESTARI EJEN PERUBAHAN

Berita Harian 25 April 2010

KUALA LUMPUR: Komuniti Bestari yang kini mencecah 1,119 buah di seluruh negara memikul tanggungjawab besar untuk membentuk rakyat Malaysia menjadi komuniti berpengetahuan, bermaklumat dan bestari bagi memastikan wawasan negara tercapai. Penubuhan itu menunjukkan kerajaan memandang serius tanggungjawab yang diamanahkan kepada Komuniti Bestari dalam meningkat-kan ilmu pengetahuan masyarakat supaya dapat menggunakan maklumat secara bijaksana bagi menangkis fitnah dan tohmahan yang boleh meruntuhkan sistem dan perpaduan di negara ini.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Heng Seai Kie, berkata Komuniti Bestari adalah ejen perubahan dibangunkan Jabatan Penerangan yang sentiasa menitikberatkan kualiti kehidupan masyarakat pelbagai kaum, tidak kira sama ada dari aspek politik, sosial serta ekonomi.

“Penubuhan Komuniti Bestari untuk memberikan imej baru dan memperkasakan pentadbiran serta aktiviti selaras dengan perkembangan dan cabaran semasa. Komuniti Bestari adalah satu program gerakan rakyat yang dinamik, berwawasan dan berasaskan kesukarelaan serta berdikari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Abdul Manan pada majlis perasmian Karnival Sepakat Bestari 2010 anjuran jabatan itu dengan kerjasama Komuniti Bestari Parlimen Bandar Tun Razak, di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abu Samah Sahabudin dan Pengerusi Komuniti Bestari PPR Kampung Muhibah, Abdul Ghaffar Abdullah.

Heng berkata, atas kesedaran bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan, kerajaan menentukan perpaduan sebagai matlamat utama dalam usaha membangunkan bangsa dan juga identitinya yang tersendiri.

“Kerajaan sentiasa merangka strategi dan membuat perancangan tertentu bagi menghadapi serta menangani isu dan masalah. Kerajaan mempunyai falsafah jelas dari segi corak dan hak pentadbirannya iaitu membangunkan negara dengan pembangunan bangsa yang mempunyai maruah dan identiti tersendiri. Justeru, sistem pengurusan Komuniti Bestari perlu diberi perhatian khusus dalam memastikan matlamat penubuhan, visi dan misinya akan tercapai. Dengan Komuniti Bestari, sistem penyampaian maklumat secara dua hala antara kerajaan dan masyarakat hingga ke akar umbi akan berjalan lancar dan berkesan,” katanya.