Sunday 6 November 2011

IBADAH KORBAN DI KAMPUNG KAMI

Hari ini selepas solat Aidiladha, kami ramai-ramai pakat bergotong-royong menyembelih tiga ekor lembu korban. Satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadah korban. Ibadah korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. 

Selepas bersembahyang, upacara Ibadah korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Selain tiga ekor lembu yang dikorbankan di perkarangan Masjid Annur iaitu masjid di kampung kami, ada dua ekor lagi yang dikorbankan di rumah penduduk kampung ini. Ramailah yang hadir bersama-sama menyembelih, melapah, memotong dan mengagihkan daging korban itu. Masing-masing tahu tanggungjawab yang diamanahkan.

Kami mulakan kerja yang diketuai oleh penyembelih handalan yang juga Iman 1 Masjid Annur iaitu Ustaz Hj. Mohd Sapii Kadar pada pukul 10.30 pagi dan selesai pada pukul 1.00 tengahari. Itulah berkat kerja beramai-ramai, kerja berat menjadi mudah dan senang. Kami mengucapkan terima kasih kepada penduduk Parit Rambai khususnya yang tinggal di Parit Rambai Hilir yang bersama-sama membereskan kerja yang diamanahkan. 

   















SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam.

Aidiladha dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji dirayakan di seluruh dunia. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selamat Hari Raya Aidiladha.